ومن يتق الله يجعل له محرج # ويرزقه من حيث لا يحتسب ومن يتوكل على الله فهو حسبه, إن الله بلغ أمره قد جعل الله لكل شيء قدرا #

Wednesday 8 August 2018

HATI DAN LALAI

Pernah dua kali ana solat terlebih dan terkurang rakaat, yang sangat memberi kesan dalam ingatan ana.

Pertama, ketika solat berimamkan sahabat sepejabat ana, 5 rakaat ana solat asar petang itu. Sahabat ana tegur, k. Noni tadi terlajak rakaat kan?

Kedua, ketika solat di belakang abang ustaz. Ana masuk di rakaat kedua, namun ana mengikut abang ustaz memberi salam, dan ana ikut zikir. Abang ustaz tegur, "Ustazah tak cukup rakaat! "

Oh jiwa, ke mana hilang lazat dan asyikmu? 😭

Wahai Allah, ampunilah kami ketika kami lalai dan leka.

.

Ana sentiasa terbayang kalam guru kami, kekanda Ustazah Syafawati Salihan dalam satu kuliahnya. Tulisan ana mungkin sedikit berbeza tetapi usaha ana inshaAllah dengan tidak mengubah makna.

"Bagaimana keadaan hati kita ketika di bawa ke dalam solat? Bersedia? Bersih? Lalai? Kotor?

Kita menyangka persediaan hati untuk solat ketika mahu angkat takbiratul ihram. Atau mungkin, ketika berwuduk.

Tetapi sebenarnya, persediaan itu sepatutnya berlaku lebih awal daripada itu. Jika mahu solat zohor, seharusnya hati perlu dijaga sejak selesai solat subuh. Jika mahu didirikan solat maghrib, bererti hati mesti bersedia sejak usai solat asar lagi.

Mata melihat apa? Telinga mendengar apa? Mulut berkata apa? Tangan dan kaki bagaimana? Apa amal buat anggota kita dari suatu waktu/masa ke suatu waktu/masa lain? Itu semua bakal memberi kesan kepada hati.

Lantas hati itu yang kita bawa bertemu Allah di dalam solat? "

.

Kealpaan - kelalaian - ketidakfokusan - ana dalam dua kisah tadi, masih terekod kemas dalam jiwa dan fikiran ana. Astaghfirullah. Semoga Allah ampun.

.

Nabi Ibrahim Alaihissalam dalam banyak doanya - tidak meninggalkan memohon kepada Allah tentang solat.

"Wahai Tuhanku! Jadikan daku dan anak-anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhan kami! Perkenankanlah doa! " (Surah Ibrahim : 40)

Nabi Ibrahim sebelum itu memohon banyak hajat; nikmat keamanan, nikmat hidayah, nikmat rezeki dan kasihan belas serta nikmat zuriat yang soleh dan semuanya Allah jawab dan kurniakan.

Justeru itu Nabi Ibrahim berdoa agar Allah jadikannya seorang yang sentiasa BERSYUKUR dengan menunaikan IBADAT dan TAAT.

Nabi Ibrahim mempunyai harapan yang sangat besar kepada Allah, iaitu MENDAPAT PERTOLONGAN Allah agar baginda dan zuriatnya MENDIRIKAN SOLAT.

.

Nabi Ibrahim mengucapkan syukur dan terima kasih kepada Allah kerana menjawab segala doanya dan memberi nikmat yang pelbagai dengan cara berDOA.

DOA agar baginda dan keturunannya mendirikan SOLAT.

.

Terfikir ana..
Nabi Ibrahim seorang Nabi kekasih Allah pun berdoa memohon bantuan Allah agar keazamannya dan zuriatnya dalam mendirikan solat, terkabul.

Apatah lagi ana? Kita?
Yang dalam fikiran, jiwa dan hati kita sebagai manusia biasa banyak kesan daripada urusan dunia. Buruk sangka. Umpat mengata.

Ana dan kita lebih perlu - wajib - berhajat untuk memohon pertolongan Allah agar menjadi hamba yang terjaga solatnya.

Kerana mendirikan solat,
Bukan sekadar memerlukan anggota.

Dari sini,
Tanyalah diri.
"Bagaimana solat mahu menjaga kamu,
Jika kamu sendiri tidak menjaga solat?"

Perbaikilah solat.
Allah akan memperbaiki kehidupan kita.



Perkongsian daripada:

Nony Imtiyaz
Yang sedang memperbaiki.